Maklumat Korporat

Pengenalan Kolej Islam As-Sofa


KONSEP DAN RASIONAL PENUBUHAN KOLEJ ISLAM AS-SOFA

Selaras dengan hasrat dan kehendak kerajaan untuk membentuk generasi muda menjadi graduan yang berdaya maju dan sentiasa kuat berpegang kepada ajaran agama dan nilai-nilai moral, maka gagasan Kolej Islam As-Sofa dicetuskan.

Kewujudan Kolej Islam As-Sofa tidak membebankan sektor awam kerana ianya tidak melibatkan kewangan kerajaan, malahan ianya mampu menjana ekonomi negara.

Peratusan penduduk Malaysia dengan pendidikan tertiari dianggarkan lebih kurang 15% dan sasaran Kerajaan Malaysia adalah untuk meningkatkannya ke tahap 40% menjelang tahun 2020. Kolej Islam ini dapat menyumbang ke arah sasaran Kerajaan Malaysia tersebut.

Kolej Islam As-Sofa ditubuhkan berdasarkan kepada rasional dan matlamat berikut:

  • Keistimewaan Sistem Pendidikan
    Mempunyai 2 elemen teras yang penting dalam pembelajaran di Kolej Islam As-Sofa iaitu pendidikan Moden dan Turath. Moden bermaksud sistem pengajian yang mengikut arus perdana yang diiktiraf oleh negara supaya pelajar mampu untuk berdaya saing. Manakala Turath ialah menekankan pada sudut keperibadian pelajar dalam pentarbiyahan serta mengekalkan sistem pendidikan era zaman Salafussoleh. Di samping itu, penggunaan kitab-kitab yang tinggi nilainya dari segi agama dan perjumpaan dengan para ulama’ dari seluruh dunia yang datang ke Malaysia memberi pendedahan yang luas kepada kolej dan pelajar-pelajar di bawah kolej ini. Ini dapat dilihat dengan apa yang telah di laksanakan oleh pihak Sofa Education Group (SEG) yang merupakan penaung kepada Kolej Islam As-Sofa di setiap institusi yang telah bernaung di bawah mereka.
  • Menawarkan Malaysia Sebagai Hub Alternatif Pendidikan Tinggi Islam Dan Pusat Kecermerlangan Islam
    Memandangkan situasi yang tidak menentu di Timur Tengah, timbul suatu keperluan mendesak bagi Malaysia untuk muncul sebagai alternatif bagi para ilmuan dan pelajar terutamanya daripada aliran agama. Ini terbukti dengan program kerjasama MOU daripada universiti-universiti seperti di Jordan, Sudan, Indonesia dan yang terbaru dengan Universiti terkenal di Maghribi. Ulama-ulama terkenal serata dunia Islam juga sentiasa mengunjungi ke Kolej Islam As-Sofa kerana tertarik dengan aliran yang dibawa oleh SEG.
  • Terbaru, Kolej Islam As-Sofa telah ditawarkan perjanjian MOA dengan Universiti terkenal di Maghribi iaitu Universiti Mohammad V dalam menjalankan program berkembar, 4+0 dan membuka penyelidikan di Universiti Mohammad V. Maghribi merupakan sebuah negara yang ketat dalam penerimaan kemasukan pelajar. Buktinya kerajaan Negeri Sembilan hanya mendapat kuota sebanyak 5 orang sahaja setiap tahun. Tetapi melalui Kolej Islam As-Sofa, kuota itu bukan lagi penghalang bagi mereka yang berminat belajar di Maghribi.
  • Menawarkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat
    Kolej Islam As-Sofa menawarkan program komuniti kepada masyarakat setempat dari segenap lapisan masyarakat yang berminat dalam menuntut ilmu di Kolej Islam As-Sofa. Umur dan sijil bukan lagi penghalang kerana Kolej Islam As-Sofa menyediakan program-program yang bersesuaian kepada masyarakat mengikut peringkat umur. Antaranya program Miftah Al-Ilmi sepenuh masa bagi lepasan SPM dan separuh masa bagi golongan dewasa dan bekerja. Buktinya, Kolej Islam As-Sofa mendapat permintaan oleh MARA, MAINS bagi menyediakan program persiapan ke IPT bagi pelajar tajaan mereka.
  • Dasar Globalisasi
    Malaysia tidak dapat lari dari kesan globalisasi. Melalui perjanjian ini pergerakan perdagangan dan pekerja akan lebih mudah dan lebih terbuka. Penubuhan Kolej Islam As-Sofa akan dapat menghasilkan tenaga kerja yang mahir dan profesional supaya mereka dapat sama-sama terlibat dalam era globalisasi.
  • Menjadikan Malaysia Sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan
    Penubuhan Kolej Islam As-Sofa akan dapat membantu kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan. Kolej Islam As-Sofa dapat membantu negara dalam mengurangkan pengaliran wang keluar di samping membantu dalam peningkatan pendapatan negara yang diperolehi hasil dari eksport perkhidmatan pendidikan. Melalui Kolej Islam As-Sofa ini, Kerajaan bukan sahaja mampu mengurangkan aliran wang keluar tetapi membawa masuk pendapatan asing secara berpanjangan dan berterusan kerana Kolej Islam As-Sofa ini akan dibina sebagai sebuah Kolej Islam yang bertaraf antarabangsa.
  • Menarik Ramai Pelajar Antarabangsa Belajar di Malaysia
    Penubuhan Kolej Islam As-Sofa dirancang untuk dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa. Terutamanya bagi pelajar Islam, Kolej Islam As-Sofa mampu berbuat demikian disebabkan minat pelajar Islam antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran mereka di Kolej Islam yang bercirikan Islam.
  • Pengajaran dan pembelajaran yang mantap dan berkualiti melalui pilihan tenaga pengajar yang berpengalaman dari dalam dan luar negara peringkat sarjana menjadi keutamaan Kolej Islam As-Sofa dalam membentuk budaya ilmu dan peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar.
  • Selain itu, SEG mempunyai rangkaian pendidikan yang bermula dari sekolah rendah dan menengah yang akan menyalurkan pelajar ke Kolej Islam As-Sofa. Ini kerana konsep yang digunakan adalah sama dan membantu pelajar dalam menguasai bidang yang diceburi dalam membina insan berilmu dan berakhlak mulia.